Isnin, 25 April 2011

Bagaimana Mendapat Benda Percuma / Menjimatkan Siri 2.


Memandangkan siri pertama amat menggalakkan di blog saya di sebelah, saya akan berkongsi sebahagian lagi tips-tips di blog ini pula. Oh ya bagi pengikut saya di blog ini yang belum lagi membaca siri 1 berkenaan perkara ini boleh baca di link ini. Sila klik

Dalam siri pertama, saya ada terangkan bagaimana mendapat benda percuma atau menjimatkan berdasarkan pandangan pencinta buku.

Sekarang kita lihat dari sudut-sudut lain pula.

Pengunjung dan penyewa bilik hotel.

Sama ada kita pergi bercuti bersama keluarga atau perlu mengikuti kursus atau kerja luar, memerlukan kita menginap di hotel. Kebiasaannya, mengikut piawaian, hotel menyediakan bilik yang selesa berhawa dingin. Perkara-perkara asas yang mesti ada ialah katil dan tilam selesa, TV, peti sejuk, almari dan kerusi serta meja sisi. Namun, pihak hotel juga biasanya menyediakan
perkara-perkara berikut yang boleh digunakan atau diambil percuma kerana ia biasanya telah dikira dalam bayaran penginapan.

1. Minuman Selamat Datang.

Sewaktu sedang mendaftar, pengunjung biasanya diberi minuman sejuk untuk menghilangkan dahaga sementara menunggu proses pendaftaran.

2. Set bancuhan minuman.

Set bancuhan kopi dan teh untuk tetamunya menikmati minuman di hotel berkenaan. Biasanya ada serbuk kopi, uncang teh, gula, krimer untuk dua orang. Pihak hotel juga menyediakan air mineral sekurang-kurangnya 2 botol dalam sebuah bilik standard. Semua itu diberi percuma dan pengunjung berhak mengambilnya kerana sebenarnya ia telah pun terkandung dalam bayaran sewa bilik hotel tersebut.

3. Set alatan mandian.

Selain bekalan bancuhan minuman, hotel juga biasanya menyediakan set alatan mandi seperti sabun, syampu, berus gigi dan ubat gigi, sikat rambut, losyen, bedak dalam kuantiti yang boleh digunakan untuk 2 orang. Ada juga hotel yang membenarkan pengunjung mengambil slipper bilik.

4. Set alat tulis.

Selain itu Hotel juga menyediakan alat tulis seperti pen, pensil, buku nota kecil, poskad, sampul surat, kertas A4 untuk menulis surat. Semua itu boleh dibawa balik atau digunakan. Sekurang-kurangnya boleh dijadikan hadiah atau kenang-kenangan menginap di hotel berkenaan.

5. Surat khabar harian.

Biasanya diletakkan di hadapan pintu pada awal pagi. Ini juga boleh diambil.

6. Sarapan pagi.

Kebiasaannya hotel-hotel besar menyediakan sarapan pagi buffet. Jadi makan kenyang-kenyang. Makanan terdiri daripada makanan tempatan dan antarabangsa. Ada sudut roti, sup, nasi dan lauk pauk kalau di sebelah timur. Salad, bubur, telur, pencuci mulut seperti kek dan kuih muih serta buah-buahan. Tidak dilupakan jus, air suam, teh dan juga kopi.

7. Penggunaan kolam renang dan tempat rekreasi.

Biasanya kolam renang, dan tempat permainan seperti tenis, dan sukan lain adalah percuma bergantung pada hotel tersebut. Ada pusat kesihatan yang boleh digunakan percuma dan ada yang berbayar.

8. Penggunaan set karaoke.

Ada juga hotel yang menyediakan perkhidmatan ini secara percuma.

9. Peralatan permainan papan atau board games

Kebiasaannya hotel atau resort ada yang membenarkan pengunjungnya menggunakan permainan-permainan ini seperti catur, monopoli dan sebagainya. Tetapi ia hanya ketika di sana saja dan perlu dipulangkan balik kepada pihak pengurusan.

10. Pengangkutan percuma pergi dan balik ke lapangan terbang atau pusat bandar.

Ini sudah tentu menjimatkan berbanding perlu mengambil bas awam atau teksi.

Namun, berhati-hati, kerana ada juga barang-barang yang tidak diberi percuma. Perkara ini biasanya diberi peringatan oleh pihak hotel dengan meletakkan senarai serta harga jika didapati barang-barang itu tiada atau rosak sewaktu kita keluar.

Kebiasaannya, barang-barang makanan dan minuman seperti coklat, air tin yang terdapat dalam peti sejuk perlu dibeli jika kita hendak gunakannya. Barang-barang macam selimut, tuala, bath tub, cawan, gelas dan lain-lain tu bukan percuma dan kita hanya gunakannya sewaktu menginap saja.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...