Ahad, 27 Mac 2011

Cara Menambah Pendapatan Melalui Blog.


Assalamualaikum / salam sejahtera,

Tajuk di atas merupakan sesuatu yang biasa saja kita dengar. Nama-nama lain ialah cara buat duit dengan blog. Cara menjana pendapatan dan sebagainya. Zaman ni semua orang lihat wang wang..duit duit. Hampir semua perkara memerlukan duit. Jadi topik ni amat digemari. Macam kisah cinta juga. Jika tidak, filem cinta, lagu cinta atau novel cinta mungkin tak laku di pasaran.

Populariti blog sebagai satu laman web ringkas yang mudah dibina, menjadikan ia pada mulanya sangat digemari sebagai salah satu tempat melepaskan perasaan seperti sebuah diari online. Namun apabila komunitinya semakin membesar, terfikir pula untuk sesuatu yang bersifat komersil dan menguntungkan. Soalan-soalan mula ditanya mungkinkah blog boleh memberi pulangan kewangan? keuntungan? kekayaan? dan sebagainya.

Jawabnya boleh. Namun bagi yang baru, apa yang harus kita lakukan? Perlukah laman blog yang cantik semata-mata? Cantik juga merupakan sesuatu yang subjektif. Berikut diterangkan beberapa cara menambah pendapatan melalui blog.

1. Menjual produk fizikal.

Apakah dia produk fizikal?
Produk fizikal ialah produk nyata yang boleh disentuh. Contohnya di laman blog ini ialah buku, novel, komik, buku teks, majalah, permainan, kraf, VCD dan lain-lain. Pada masa ini, kita tidak mempunyai teknologi yang membolehkan gambar produk yang dipapar di skrin komputer tiba-tiba memunculkan produk dalam bentuk nyata. Laman blog hanyalah suatu bentuk media yang memaparkan gambar barang-barang fizikal yang dijual serta maklumatnya. Pembeli dan penjual dibantu oleh sokongan perniagaan yang lain iaitu bank (agen penerima bayaran bagi pihak penjual), pos (agen penghantaran barangan bagi pihak penjual) . Kebiasaannya jual-beli secara gaya pos. Pembeli pilih barang dan beritahu penjual, penjual semak stoknya dan beritahu maklumat akaun untuk pembayaran, pembeli bayar dan maklumkan penjual bukti pembayaran dan alamat untuk penghantaran. Penjual menghantar produk ke alamat diberi.

2. Menjual produk bukan fizikal.

Jika produk fizikal ialah sesuatu produk yang nyata, bagi produk bukan fizikal pula ia lebih kepada sesuatu yang tidak nyata. Contohnya artikel ini. walaupun pada kali ini artikel ini ditulis dan diberi secara percuma, namun ia tetap boleh dibaca dan diambil manafaatnya tanpa menunggu posmen menghantar sesuatu. Kebanyakannya merupakan sesuatu yang kita boleh perolehi secara atas talian contohnya ebook, permainan online, video pembelajaran, artikel online, kartun online dan sebagainya. Bantuan perniagaan yang diperlukan hanyalah bank untuk menerima bayaran serta media untuk menerima produk. Contohnya produk perlu dimuat turun atau diberi melalui e-mel setelah bayaran dibuat.

3. Menjual perkhidmatan.

Kaedahnya sama dengan kedua-dua cara di atas cuma ia lebih kepada perkhidmatan. Perkhidmatan ialah sesuatu yang ditawarkan secara terus iaitu kerja yang dilakukan oleh seseorang yang memberi faedah kepada orang lain. Contohnya perkhidmatan rekabentuk laman web, perkhidmatan fotografi, perkhidmatan Internet, perkhidmatan sewa rumah atau peralatan dan sebagainya. Ruangan blog bertindak sebagai ruang iklan yang menerangkan perkhidmatan yang ditawarkan dan perlaksanaannya boleh berlaku secara online atau offline. Contoh kaedah online, pengguna melihat iklan perkhidmatan terjemahan dan membayar perkhidmatan yang diingini, serta menyerahkan dokumen secara online, penyedia perkhidmatan menterjemah dan kemudian menghantar online kepada pelanggan. Perkhidmatan offline pula apabila ada interaksi antara dua pihak di luar. Contohnya pengguna melihat iklan perkhidmatan memotong rambut di blog dan kemudian ke kedai penjual memotong rambutnya.

Sekian dahulu buat hari ini...bersambung untuk artikel seterusnya. Jika ada yang nak beli buku-buku yang ada, sila hubungi jualbeli@1malaysia.my

Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...